Isnin, 7 November 2016

HADITH KEDUA: MUKHTASAR IBDU ABI JAMRAH, PILIHAN DARI KITAB SAHIH IMAN AL-BUKHARI

Daripada Anas Radiyallahu ‘anhu dari Nabi Sallalahu ‘alaihi wassalam ia bersabda: tiga perkara; barang siapa yang ada tiga perkara itu padanya nescaya ia mendapat akan kemanisan iman, iaitu adalah Allah dan RasulNya terlebih kasih kepadanya daripada yang lain dari keduanya. Dan bahawa ia kasih akan seseorang, tiada kasihnya itu melainkan kerana Allah Ta’ala. Dan bahawa ia benci akan kembali kepada kufur sebagaimana ia benci bahawa ia akan dicampakkan ke dalam neraka.


Hadist tersebut menerangkan bahawa tiga perkara menyebabkan seseorang beroleh kemanisan iman:

1.    Hendaklah kasih kepada Allah dan RasulNya benar-benar lebih daripada kasihnya kepada sesuatu benda atau kepada orang lain. Kalau demikian kasihnya itu, barulah ia mendapat kemanisan iman yang bererti pula beroleh kegembiraan dan kelazatan berbuat keta’atan dan kebajikan dengan penuh kecergasan dan kegiatan dengan tidak menghiraukan sama ada perkara itu keci atau besar, baikpun senang atau susah amalan yang akan diperbuatnya sebaliknya ia tidak bersenang hati kalau sekiranya keta’atan dan kebajikan itu tidak dan belum lagi diperbuat. Orang yang telah beroleh kemanisan iman, baginya amatlah payah meninggalkan kewajipan ibadah seperti: sembahyang, puasa, haji, zakat dan lain-lain daripada perkara yang diperintahkan agama Islam.


2.    Hendaklah ia kasih akan seseorang daripada anak Adam kerana Allah semata-mata, iaitu kasihnya kepada saudaranya itu disebabkan diapun hamba Allah dan seorang makhluk yang sama kejadian, yang sama pula keturunan dan bukan kerana ianya orang kaya, orang bangsawan, orang yang berpangkat atau orang yang terhormat.


3.    Hendaklah ia benci kembali kepada kekufuran. Maka kerana itu mahulah ditinggalkan segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada menyekutukan Tuhan seraya berusaha sungguh-sungguh menjauhi segala perbuatan keji, derhaka dan perangai yang jahat.


Inilah tiga perkara yang diterangkan oleh junjungan Sallallahu ‘alaihi wassalam bagi pengikut-pengikutnya untuk memperolehi kemanisan iman dan kelazatan beribadah, seorang Islam akan berada tetap di dalam ketaatan dan dalam keselamatan hidup bermasyarakat jika tiga perkara itu ada baginya.

Rujukan: Hadist kedua, Mukhtasar Ibnu Abi Jamrah. 2012. Mengandungi 294 Hadith pilihan dari Kitab Sahih Iman al-Bukhari, Mustafa ‘Abdul Rahman, Selangor: Dewan Pustaka Fajar.